Sunday, 11 December 2016

Sains Dan Matematik Dalam BM Dan Bahasa Ibunda 2012 – Muhyiddin

8 July 2009 by  
Filed under Bicara

ppsmi Sains Dan Matematik Dalam BM Dan Bahasa Ibunda 2012   Muhyiddin

PUTRAJAYA, 8 Julai (Bernama) — Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik di sekolah kebangsaan akan dilaksanakan dalam Bahasa Malaysia berkuatkuasa pada 2012. Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik di sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil pula akan dilaksanakan dalam bahasa ibunda masing-masing. Muhyiddin berkata kabinet hari ini meluluskan cadangan strategi Kementerian Pelajaran untuk memartabatkan Bahasa Melayu dan memantapkan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris di semua peringkat persekolahan. “Strategi ini dirangka berdasarkan hasil kajian dan pemantauan yang telah dilakukan oleh Kementerian Pelajaran mengenai pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sejak dasar ini mula dilaksanakan pada 2003,” katanya ketika mengumumkan perkata itu di Kementerian Pelajaran di sini, hari ini. PPSMI diperkenalkan pada 2003 dan kumpulan pertama murid-murid yang mempelajari Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris sejak Tahun Satu ialah mereka yang menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun lepas. Muhyiddin berkata pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran dua mata pelajaran itu dalam Bahasa Malaysia dan bahasa ibunda akan diadakan secara bertahap di Tahun Satu dan Tahun Empat di sekolah rendah dan Tingkatan Satu dan Tingkat Empat di sekolah menengah yang bermula 2012. Bagaimanapun, katanya, perubahan itu tidak melibatkan Tingkatan Enam dan matrikulasi. Beliau berkata untuk memastikan pelaksanaan strategi baru itu tidak menjejaskan pencapaian murid yang sedang mengikuti PPSMI, pengajaran dan peperiksaan untuk kedua-dua mata pelajaran itu akan dibuat dalam dwi-bahasa sehingga kohort terakhir PPSMI tamat pada 2014. Beliau berkata kerajaan mengambil keputusan itu setelah meneliti secara terperinci hasil kajian dan pemantauan mengenai PPSMI yang menunjukkan bahawa PPSMI tidak dapat dilaksanakan seperti mana yang dihasratkan. “Apa yang dilaksanakan ialah PPSMI/BM iaitu guru-guru mengajar mata pelajaran Sains dan Matematik dalam dwi-bahasa iaitu Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia,” katanya. Muhyiddin berkata pemantauan kementerian pada tahun lalu mendapati hanya sebahagian kecil guru menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam pengajaran Sains dan Matematik. “Secara purata, peratusan penggunaan bahasa Inggeris adalah antara 53-58 peratus daripada keseluruhan masa yang diperuntukkan bagi mata pelajaran Sains dan Matematik,” katanya. Selain itu, katanya, hanya sebahagian guru Matematik dan Sains di sekolah menengah dan rendah yang mengambil ujian Penilaian Tahap Profisiensi bahasa Inggeris pada tahun lalu mencapai tahap profisiensi. Katanya peratusan murid yang mendapat gred A, B dan C bagi mata pelajaran Sains dalam UPSR tahun lalu telah merosot daripada 85.1 peratus kepada 82.5 peratus bagi sekolah bandar dan daripada 83.2 peratus kepada 79.7 peratus bagi sekolah luar bandar. “Bagi mata pelajaran Matematik, pencapaian murid bandar telah merosot daripada 84.8 peratus kepada 80.9 peratus manakala pencapaian murid luar bandar merosot daripada 80.9 peratus kepada 77 peratus,” katanya. Beliau berkata jurang pencapaian antara sekolah bandar dan luar bandar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik semakin melebar semasa PPSMI dilaksanakan. Muhyiddin berkata laporan “Trends in Mathematics and Science Study 2007″ turut menyatakan kedudukan murid Malaysia dalam mata pelajaran Sains telah merosot daripada tangga ke-20 pada tahun 2003 ke tangga ke-21 pada tahun 2007. “Bagi mata pelajaran Matematik pula, kedudukan murid kita telah merosot daripada tangga ke-10 pada tahun 2003 ke tangga ke-20 pada tahun 2007,” katanya. Beliau berkata kajian universiti-universiti tempatan pula mendapati tahap peningkatan penguasaan bahasa Inggeris murid adalah nominal iaitu tidak lebih tiga peratus sepanjang pelaksanaan PPSMI. “Tahap penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid terutamanya di luar bandar masih rendah menyebabkan mereka sukar untuk memahami pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris,” katanya. Katanya berdasarkan pengamatan ini, kerajaan yakin bahawa Sains dan Matematik perlu diajar dalam bahasa yang mudah difahami oleh murid iaitu Bahasa Malaysia di sekolah kebangsaan, bahasa Cina di SJK(C) dan bahasa Tamil di SJK(T). – BERNAMA

risalah anti ppsmi 499x707 Sains Dan Matematik Dalam BM Dan Bahasa Ibunda 2012   Muhyiddin

Tapi apa pula kata pengasas PPSMI?? Teruskan membaca… icon smile Sains Dan Matematik Dalam BM Dan Bahasa Ibunda 2012   Muhyiddin

Pemansuhan PPSMI Jejas Masa Depan Anak-anak, Kata Dr Mahathir

PUTRAJAYA, 8 Julai (Bernama) — Pemansuhan pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) akan menjejas masa depan anak-anak, sekaligus menjadikan mereka mangsa kepada keputusan kerajaan itu, kata Tun Dr Mahathir Mohamad. Mantan perdana menteri itu yang jelas tidak gembira dengan keputusan tersebut menyifatkannya sebagai tindakan yang akan menyukarkan anak-anak untuk mempelajari dan mengetahui perkembangan dunia sains pada masa depan. “Saya sedih kerana masa depan anak-anak, anak-anak akan jadi mangsa dasar ini,” katanya pada sidang akhbar di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini Rabu. Dr Mahathir diminta mengulas mengenai pemansuhan PPSMI oleh Kementerian Pelajaran berkuatkuasa 2012 di sekolah-sekolah kebangsaan. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran hari ini mengumumkan bahawa berikutan keputussan itu, subjek sains dan matematik akan kembali diajar dalam bahasa Malaysia. Muhyiddin berkata, langkah itu merupakan sebahagian daripada langkah memartabatkan Bahasa Melayu dan memantapkan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris di semua peringkat persekolahan. PPSMI diperkenalkan pada 2003 dan kumpulan pertama murid-murid yang mempelajari Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris sejak Tahun Satu ialah mereka yang menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun lepas. Dr Mahathir berkata, usaha memartabatkan Bahasa Melayu tidak akan menyentuh PPSMI berikutan subjek sains dan matematik tidak mempunyai sebarang pertalian dengan pembelajaran bahasa. “Kata mereka ini untuk memartabatkan bahasa kebangsaan, tapi di sekolah Cina, mereka guna Bahasa Mandarin dan di sekolah Tamil mereka guna Bahasa Tamil. Lagipun kita tak boleh belajar bahasa melalui sains dan matematik. Bahasa mempunyai subjeknya sendiri,” katanya. Dr Mahathir dalam sidang akhbar yang sama turut menafikan bahawa beliau bersetuju dan menerima hakikat pemansuhan dasar tersebut, sekaligus bertentangan dengan kenyataan Muhyiddin sewaktu mengumumkan perkara berkenaan tengah hari tadi. “Kerajaan sudah buat keputusan. Saya cuma diberi taklimat, saya cuba beri cadangan, minta kalau tak boleh dibuat semasa sekolah rendah, sekurang-kurangnya di sekolah menengah, tapi mereka tolak dan tak terima. Jadi itu bukan consultation, tapi cuma taklimat,” katanya. Semasa mengumumkan perkara itu, Muhyiddin berkata Dr Mahathir umumnya menerima hakikat mengenai perlunya dasar itu diubah. Katanya, beliau dan pegawai kanan kementerian itu telah berbincang lebih tiga jam dengan Dr Mahathir bagi menerangkan mengenai kesukaran untuk meneruskan PPSMI, masalah keupayaan guru dan murid menguasai bahasa Inggeris serta jurang pencapaian antara sekolah bandar dan luar bandar, dan antara sekolah kebangsaan dan bukan kebangsaan. “Dr Mahathir umumnya menerima hakikat ini,” kata Muhyiddin. — BERNAMA

pixel Sains Dan Matematik Dalam BM Dan Bahasa Ibunda 2012   Muhyiddin

Facebook Comments

comments

Speak Your Mind

Tell us what you're thinking...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a Gravatar!

CommentLuv badge