Sunday, 4 December 2016

Wahai ibu bapa, jenguklah anak di IPT

30 April 2010 by  
Filed under al-Ahya' Yaumiyan, Islam

bayi Wahai ibu bapa, jenguklah anak di IPT

Mengapa ada yang sanggup membuang bayi? Tidakkah bayi itu harus disayangi selepas bersusah payah mengandung selama sembilan bulan. Adakah sanggup bayi yang terhasil daripada kasih sayang dua insan itu dibiarkan diratah anjing liar atau digilis kenderaan? Manusia jenis apakah yang sanggup melakukan perbuatan keji dan kejam itu? Itu kata saya, kata anda dan kata kita semua apabila setiap kali berita mengenai pembuangan bayi mengisi dada akhbar dan ruangan utama berita.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Selangor berada pada kedudukan tertinggi di negara ini dengan mencatatkan kes pembuangan bayi sepanjang lima tahun belakangan ini, iaitu sebanyak 105 kes, manakala bagi penderaan bayi dan kanak-kanak, Selangor juga merangkul kedudukan nombor satu. Saya boleh mengandaikan mengapa Selangor begitu galak dalam kes ini, selain menjadi tumpuan belia seluruh negara bekerja mencari rezeki, negeri ini juga mempunyai jumlah pekerja asing yang tidak sedikit bilangannya. Namun begitu di negeri lain juga mempunyai bilangan kes yang begitu membimbangkan. Di Terengganu, walaupun hanya berlaku lima kes pembuangan bayi dan 168 kes penderaan bayi dan kanak-kanak, tetapi senario itu sudah cukup membimbangkan. Saya melihat masalah ini sebagai ‘iceberg’ walaupun nampak kecil tetapi sebenarnya besar. Banyak kes sampingan harus kita lihat yang menyumbang kepada peningkatan kes ini sekiranya tidak dibendung.

Oleh itu, saya merayu kepada pemimpin negeri, masyarakat, ibu bapa, belia, remaja dan pelajar marilah kita sama-sama menghalang perkara ini daripada terus menjadi barah. Kepada ibu bapa, janganlah terlalu sibuk mencari harta dunia, jenguklah anak di asrama, di institusi pengajian tinggi (IPT) dan ambil tahu apa yang mereka buat. Jangan terlalu percaya kerana kejayaan akademik sahaja tidak cukup untuk membina keimanan teguh yang boleh menjadi benteng kepada mereka menolak segala salah laku ini. Ketika iman kuat mungkin boleh mereka menghalang daripada terhasut dengan godaan syaitan. Tetapi apa yang akan berlaku tatkala iman mereka lemah?

buangbayi Wahai ibu bapa, jenguklah anak di IPT

Saya ingin ingatkan kepada diri sendiri dan ibu bapa yang saya hormati, jika anak sudah menemui pasangannya walaupun ketika masih menuntut di universiti, kahwinkan saja. Jangan dibiarkan mereka keluar berdua-duaan sedangkan kita sendiri tidak mampu untuk memantaunya. Kita sebagai ibu bapa perlu bertindak selangkah ke hadapan daripada mereka. Ini sebab kata pepatah, kita dahulu yang makan garam, sepatutnya sekilas ikan dia air kita sudah tahu jantan betinanya. Jika mereka tidak mampu, sama-samalah membantu mereka dari segi kewangan.

Percayalah tanggungjawab berkeluarga itu akan membuatkan mereka lebih matang dan lebih tahu akan tujuan dan matlamat mereka dihidupkan ke dunia ini. Semoga kita dapat sama-sama bertemu Allah SWT di syurga, Amin. Pesanan ini khas untuk pembaca (khususnya golongan muda).

Sumber : Sinar Harian

 

pixel Wahai ibu bapa, jenguklah anak di IPT

Facebook Comments

comments

Speak Your Mind

Tell us what you're thinking...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a Gravatar!

CommentLuv badge