Friday, 17 January 2025

Kampungku, Jeram

21 August 2012 by  
Filed under al-Ahya' Yaumiyan, Bicara, Islam, Raya

Assalamu’alaikum WRT WBT.

20 Ogos 2012: 2.45PM; Hari ini aku pulang ke kampung bersama Umi, Imad, dan Hikmah. Sehari sebelum 1 Syawal, kami sekeluarga telah datang ke Jeram untuk pengebumian arwah pamanku, Jamaluddin di Tanah Perkuburan Jalan Pusara, Jeram. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya.

Aku memandu kereta, cadangnya untuk membawa maksimum 80km sahaja, namun hujan yang amat lebat bermula di kawasan Klang memaksa diriku membawa maksimum 20km untuk menampakkan alur jalan. Laju sedikit maka putihlah cermin keretaku. Alunan Zikir Terapi dari album Hafiz Hamidun dan juga Fitri Haris serta Selawat dari UNIC dan Nowseeheart mendamaikan dan menenangkan perjalanan kami. Apabila hujan reda, kami singgah di Pantai Remis sebentar melihat suasana pantai. Lama sungguh aku tidak singgah disitu..ramai pula bangsa India yang bersantai. Sebelum meneruskan perjalanan pulang, Umi membeli sedikit Ala-ala untuk makan malam juga buat juadahku berbuka.

Kami meneruskan perjalanan melalui jalan pantai. Sampai sahaja di Jeram, kami memunggah barang, tujuan kami tidak lain hanya untuk menjaga nenek yang telah lama terlantar di atas katil, menggantikan makcik kami Sarimah dan Rusiah yang terlebih dahulu menjaga semenjak Syawal belum menjelma. Aku mendengar sedikit kisah tentang saat-saat terakhir paman Udin ku dari Makcik Sarimah. Sayu ku mendengarnya.

Pabila waktu Asar tiba, Imad dan aku pergi ke Masjid Jamiul Ridhwan, Jeram untuk mendirikan solat. Selesai bersolat, kami berdua berjalan dan berpusing mencari surat khabar. Tidak ketemu walaupun satu surat khabar untuk hari ini. Kami berpusing sehingga ke Sungai Buloh semata-mata untuk mencari surat khabar, namun tidak juga dijumpai. Kedai terakhir mengatakan, surat khabar hari ini tidak keluar, hanya surat khabar semalam yang masih ada. Apakah yang terjadi?

Sesampai di rumah. Ku lihat terdapat beberapa buah kereta di halaman rumah. Rupanya sepupu Umi dari Paya Jaras datang menziarah. Hujan masih lagi turun perlahan-lahan, di gelarnya sebagai gerimis. Gerimis yang masih berterusan turun bermula selepas hujan reda di Pantai Remis. Setelah mereka pulang, makcik ku turut sama pulang. Tinggal lah kami berempat dan juga nenek di sini. Maghrib pun tiba, aku menjamah Ala-ala yang dimasak oleh Umi. Manisnya masakan air tangan Umi. Terima kasih Umi. Sewaktu aku berbuka, Umi memberikan nenek makan menggunakan tiub yang telah disediakan. Sesudah itu, kami bersolat Maghrib dan kemudian kami berempat menghabiskan Ala-ala yang masih ada bersama sedikit Lemang.

Gerimis masih menimpa bumi ini. Aku duduk di luar rumah berehat. Sesungguhnya diri ini amat penat dan mengantuk dek kerana malamnya aku tidak dapat melelapkan mata. Aku isi malam itu dengan membuat sedikit projek tahun akhirku. Sambil duduk aku terasa sedikit kosong, lantas aku menyampai telefon ku dan menaip “Broadband Weekly” dan hantar ke 28882 untuk membeli Internet Data Plan bagi tempoh seminggu berharga RM18. Isya tiba dan aku bergegas ke bilik air untuk mengambil wudu. Usai mengambil wudu, aku ternampak buah pelam yang masih muda dicelahan dedaunan di sebelah bilik air. Aku pergi kebawahnya lantas aku menginjakkan kakiku sedikit untuk mencapai buat tersebut. Setelah bersolat, aku memotong buah pelam tersebut. Adikku Hikmah asyik berkata ingin merasa buah ini namun takut akan nyilunya rasa. Aku taburkan garam kasar sedikit dan naik ke tingkat atas. Aku menjamah pelam itu bersama Hikmah dan Imad, garam kasar yang ditabur kurang terasa masinnya seakan-akan tawar.

Imad membentang tilam, aku berjalan di ruang atas. Aku ternampak sebuah buku novel. Aku mencapai novel tersebut, tertera tajuknya “Menyusur Rindu” karya Sarimah Bardon. Oh! Cik Imah telah menulis novel rupanya, tahniah! Aku melihat ke dalam, Cetakan Pertama 2011. Baru lagi novel ini. Aku pandang ke bawah, Hakcipta Dewan Bahasa dan Pustaka. Mungkinkah aku pernah terlihat buku ini dimana-mana kedai buku? Allahu’alam. Aku memegang novel tersebut dan pergi ke tilam yang siap terbentang. Sekiranya anda ada menjumpai novel ini, ringan-ringankan lah tangan untuk membelinya. Semoga ada manfaat bersama.

Aku mengeluarkan Netbook yang dipinjam dari Khaliq sebelum aku pergi. Kemudian aku menyambung kabel telefon ku pada Netbook ini untuk mendapatkan capaian internet. Dan aku menaip warkah ini sambil menikmati pelam yang dipotong tadi. Mereka yang lain telah melelapkan mata, jam 11.30PM aku perlu mengejutkan Umi untuk memberi ubat dan makanan pada nenek.

Gerimis masih jatuh berguguran. Aku mengimbau saat ku masih kecil. Berjalan kaki untuk ke Pantai Jeram yang hanya memerlukan beberapa langkah sahaja. Sewaktu aku datang tadi, aku melihat sebuah restoran ikan bakar yang besar dan tersergam indah telah dibina berhampiran pantai, Aroma Ikan bakar namanya. Teringin untuk diri ini merasa, namun masih lagi tidak dibuka restoran tersebut, cuti raya agaknya. Kala kecilku rancak dengan meniti di titi yang ada untuk nelayan-nelayan naik ke darat. Mengutip ketam batu yang kecil untuk disimpan dan dibawa ke rumah. Sangkaanku ketam tersebut masih hidup pabila tiba dirumah, meleset sama sekali. Hanya badan kaku yang menunggu. Mendengar cerita Umi saat mengutip kerang dan lain-lain sewaktu kecilnya, amat membuatkan aku terasa iri. Suasana sungguh berbeza di zaman aku dilahirkan.

21 Ogos 2012: 4.25AM; Terlelap diriku saat menulis warkah ini. Aku mengandaikan akan menyiarkan warkah ini sebelum jam 12.00AM malam tadi. Namun tidak kesampaian. Aku bergegas bangun untuk bersahur, sebungkus Maggie Kari dimasak bersama Bawang Besar, Lobak Merah, Kacang Panjang, Udang Halus, Cili dan Telur. Aroma Nescafe menaikkan lagi selera ku. Saatnya tiba untuk aku berhenti dan bersahur. Puasa Enam Bulan Syawal telah masuk hari ke dua. Esok dan lusa mungkin tidak ku laksanakan untuk menziarahi saudara di Johor. Terima kasih kerana sudi membaca.

Sehingga ketemu lagi. Ilalliqa’.

Wassalamu’alaikum.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Facebook Comments

comments

Speak Your Mind

Tell us what you're thinking...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a Gravatar!

CommentLuv badge