Bukti Kartika Patuh Hukum Islam
16 September 2009 by Mahmud Al-Kauthar
Filed under Bicara, Islam
KUALA LUMPUR, 16 Sept (Bernama) — Model sambilan Kartika Sari Dewi Shukarno yang reda dengan hukuman sebat yang dijatuhi ke atasnya disifatkan sebagai seorang wanita Islam yang mematuhi perintah Allah. Ketua Jabatan Undang-Undang Islam, Kuliah Undang-Undang Ahmad Ibrahim (AIKOL) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Penolong Profesor Dr Badruddin Ibrahim berkata dalam Islam, meminum arak adalah kesalahan yang tidak boleh dipertikaikan dan hukuman sebat ke atas peminumnya juga tidak boleh dipersoalkan.
Menurutnya setiap pihak juga mesti menghormati keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Syariah kerana institusi itu adalah bebas daripada campur tangan mana-mana pihak. “Keputusan mahkamah berhubung kes sebatan adalah mengikut undang-undang dan tidak boleh dipertikaikan. Sekiranya ada pihak yang mempertikaikan keputusan itu, maka pihak terbabit hendaklah didakwa atas tuduhan menghina mahkamah”, katanya pada sidang media mengenai pelaksanaan hukuman sebat Syariah ke atas peminum arak di Malaysia, di sini , Rabu. Kartika, 32, telah dihukum denda RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan Julai lalu selepas mengaku bersalah meminum arak di sebuah hotel di Cherating pada Julai tahun lepas.
Beliau juga dihukum sebat tidak melebihi enam kali sebatan. Bagaimanapun hukuman itu ditangguhkan bagi menghormati bulan puasa. Pelaksanaan hukum sebat ke atasnya telah menimbulkan polemik. Pada Rabu beliau mengeluarkan kenyataannya bahawa beliau reda dengan hukuman sebat ke atasnya dan memohon agar ia dapat dilaksanakan secepat mungkin. Dr Badruddin menjelaskan pelaksanaan hukuman sebat tidak bertentangan dengan undang-undang antarabangsa dan bukan satu bentuk diskriminasi terhadap wanita. Katanya hukuman sebat mengikut undang-undang Islam adalah terpakai tanpa mengira jantina dan ia bersifat kemanusiaan kerana mengambil kira keadaan pesalah dan faktor lain yang boleh memberikan kemudaratan kepada pesalah. “Hukuman sebat ini bukanlah satu bentuk penderaan atau hukuman yang kejam, tidak berperikemanusiaan atau menghinakan.
“Jadi ia tidak bertentangan dengan Konvensyen Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita yang dianggotai Malaysia atau mana-mana konvensyen yang tidak mengikat Malaysia antaranya seperti Perisytiharan Sejagat Hak Asasi Manusia 1984, Waad Antarabangsa Hak-Hak Sivil dan Politik 1966 dan Konvensyen Terhadap Penderaan atau Layanan atau hukuman lain yang kejam, tidak berperikemanusiaan atau menghinakan,” katanya. Mengenai tanggapan dari pendokong hak asasi manusia bahawa hukuman sebat adalah melanggar kebebasan individu, Dr Badruddin menjelaskan menurut Islam, hak asasi manusia hendaklah ditafsirkan mengikut kehendak Islam. Beliau berkata hak seseorang individu hendaklah diseimbangkan dengan hak masyarakat yang inginkan keselamatan dan kesejahteraan.
Kenyataan ini turut disokong Dr Mohd Hisham Mohd Kamal, seorang lagi pensyarah di AIKOL yang berkata hak asasi di dalam Islam ada termaktub di dalam Al-Quran dan ia dilaksanakan sejak zaman Nabi Muhammad S.A.W. “Kenapa kita tidak pandang apa yang Nabi Muhammad S.A.W buat tetapi mengagung-agungkan hak asasi manusia yang dicipta orang-orang Barat?” soalnya. Dr Shamrahayu Abdul Aziz, yang juga pensyarah di AIKOL berkata pihak yang memainkan isu hak asasi manusia dalam kes Kartika ialah orang yang tidak memahami Islam dan mendalami undang-undang Islam. “Kalau seseorang itu bukan Islam atau tidak memahami undang-undang Islam, jangan komen pasal Islam, jangan bincang, baik tutup mulut. Soal agama adalah bersangkut paut dengan keimanan dan apabila orang luar (bukan Islam) bercakap soal keimanan kita, takkan kita nak duduk diam.” katanya.
Mengenai kaedah sebatan, Dr Badruddin berkata kaedah sebatan menurut Islam dan juga Enakmen Tatacara Jenayah Syariah adalah berbeza dengan kaedah sebatan yang dilaksanakan di Mahkamah Sivil. “Kaedah sebatan secara Islam dilaksanakan oleh tukang sebat dengan menggunakan alat sebatan beserta kekuatan sederhana tanpa mengangkat tangan si penyebat melebihi kepalanya. Pesalah juga dikenakan pakaian yang sempurna dan sebatan yang dilaksanakan tidak akan melukakan kulit pesalah,” katanya.
— BERNAMA

I see you don’t monetize kauthar.net, don’t waste your traffic, you
can earn additional cash every month with new monetization method.
This is the best adsense alternative for any type of website (they approve all sites), for more info simply search in gooogle:
murgrabia’s tools
BestUte recently posted.. BestUte