B2B @ Karangkraf. SubhanAllah, Best Best!
24 May 2009 by Mahmud Al-Kauthar
Filed under al-Ahya' Yaumiyan, iLuvislam.Com
B2B – Back to Basics merupakan suatu aktiviti ‘gathering’ terbaru, anjuran iLuvislam.com dengan kerjasama Kumpulan Karangkraf Sdn. Bhd(KKSB). Melalui B2b, pengunjung iLuvislam.com dapat berkumpul beramai-ramai untuk merapatkan silaturrahim di alam realiti. Selain itu, semua peserta digalakkan untuk berjual-beli melalui sistem barter bagi melatih kemahiran keusahawanan masing-masing. Misi B2b adalah untuk mengumpulkan sebanyak mungkin pengunjung iLuvislam.com di seluruh dunia dalam sesuatu masa yang ditetapkan oleh penganjur. Alhamdulillah, B2b pertama yang juga B2b eksperimen(khas untuk krew iLuvislam.com Malaysia), telah diadakan pada 23 Mei 2009 bertempat di Garden Cafe, Kompleks Karangkraf, Shah Alam. Ia telah dihadiri oleh lebih 40 orang termasuk CEO KKSB, Dato’ Hussamuddin Hj. Yaakob.
Selepas pembacaan doa dan ucapan pembukaan oleh Presiden iLuvislam.com, Dato’ Hussamuddin berkongsi tentang bagaimana beliau berkenalan dengan iLuvislam.com dan mengapa beliau tergerak hati untuk mengambil iLuvislam.com sebagai anak angkat. Menurut beliau; “Saya tertarik dengan ‘presentation’ Im (Presiden iLuvislam.com) semasa sebuah program wacana ilmu bertajuk “Peranan Media Membentuk Karakter Bangsa” di BERNAMA baru-baru ini. Saya terus membuka iLuvislam.com selepas pulang dari program tersebut. Kemudian, saya merasakan bahawa KKSB perlu berganding bahu dengan iLuvislam.com dalam meluaskan lagi dakwah Islam.” “Jadikanlah Kompleks Karangkraf sebagai rumah kedua kalian. Datanglah ke sini, ‘anytime’ ” kata Dato’ Hussamuddin kepada hadirin. Beliau turut berkongsi satu idea yang sangat mengejutkan pihak iLuvislam.com. Menurut beliau, “saya ingin mencadangkan penerbitan tabloid yang bernama iLuvislam dalam membantu penyebaran dakwah. Harganya murah, hanya sekadar untuk ‘cover’ kos pengeluaran supaya ramai dapat membeli tabloid tersebut.” Selain itu, Dato’ Hussamuddin turut berkongsi rahsia kejayaan beliau membangunkan KKSB. Antara faktor kejayaan beliau adalah fokus kepada industri yang beliau pakar (iaitu percetakan), banyak membaca buku dan sentiasa ingin ‘melompat lebih tinggi’ walaupun telah berjaya.
Program dimeriahkan lagi dengan persembahan lagu-lagu hadis dari penasyid terkenal, saudara Muadz. Antara lagu yang dinyanyikan adalah lagu ‘Hijrah’; mengandungi hadis berkenaan niat. InsyaAllah selepas ini, iLuvislam.com bakal bekerjasama dengan saudara Muadz dalam merancakkan lagi dakwah di tanah air. Selepas semua peserta menikmati juadah ‘potluck’, program diteruskan dengan sharing dari 5 orang hebat; En. Nazri Dato’ Omar (COO Al-Ansar Group), Puan Firdaus Dato’ Hussamuddin (Executive Director KKSB), En. Afif Azman (Manager – New Media KKSB), Brother Yahya (saudara Islam baru dari Amerika) dan Adawiyah Juzailah Martin (krew iLuvislam.com yang merupakan saudara baru). Perkongsian di atas diselangi dengan sebuah lagu yang syahdu dari saudara Muadz; lagu bertajuk “Ukhwah Fillah.” Pelbagai input baru dan menarik dapat dipelajari dari perkongsian mereka. Antaranya, Puan Firdaus memberitahu bahawa Karangkraf mempunyai jumlah pembaca sebanyak 5 juta seluruh Malaysia. Jadi, iLuvislam.com perlu memanfaatkan jumlah tersebut untuk menyebarkan mesej Islam. Menurut En. Nazri, dalam sesuatu organisasi, penjanaan ekonomi dikalangan krew amat penting jika organisasi itu ingin memastikan bahawa krew mereka terus komited dengan tugas masing-masing. Hal ini amat penting kerana semakin kita berusia, semakin banyak komitmen yang perlu kita hadapi. Tanpa kewangan yang baik, kita tidak mampu menguruskan kehidupan. Perkongsian santai En. Afif amat menarik sehingga beliau ‘kehabisan bateri’. Berdasarkan sebuah artikel yang dibaca oleh beliau, kajian mendapati bahawa ‘social networking website’ seperti facebook, friendster dan lain-lain merupakan media yang bakal menguasai dunia kerana jaringan mereka amat luas. Kata-kata En. Afif menyebabkan saya merasakan bahawa saya perlu membuat sebuah website ‘social networking’ sehebat facebook tetapi Islamik. InsyaAllah, jom berani bermimpi! Kehadiran dua sahabat yang merupakan sahabat baru Islam; Yahya dari Amerika Syarikat dan Adawiyah dari Kajang, tidak kami sia-siakan. Kami menjemput mereka untuk ‘sharing’ pengalaman dan perasaan masing-masing. Sesi soal jawab bersama mereka amat memeriahkan suasana. Menariknya, hadirin sendiri dapat merasai cabaran yang mereka harungi sepanjang perjalanan mencari jati diri dan agama yang suci. Kami mendoakan mereka terus tabah dalam mengharungi kehidupan mendatang. B2b diteruskan dengan lawatan kompleks Karangkraf. En. Raja Shahfaizal dan En. Afif Azman mengetuai lawatan ini. Semua kelihatan ceria dan teruja melihat mesin-mesin cetak dan pejabat Karangraf yang amat luas. Kebanyakan masa dihabiskan dengan En. Hasli Mat Soh; staf yang menguruskan percetakan digital Ultimate Print Sdn. Bhd. (salah sebuah syarikat dalam KKSB). Selesai lawatan ke kompleks Karangkraf, kami berkumpul beramai-ramai untuk sesi ta’aruf antara krew dan hadirin yang hadir. Jika kami selalu berhubung di alam maya, inilah masanya kami berkenal secara alam realiti! Menurut En. Ruzani Koyube, beliau berharap iLuvislam.com akan terus maju memberi manfaat kepada ummah. Beliau juga mengingatkan agar semua krew dapat menuntut ilmu sebanyak mungkin supaya ilmu itu dapat digunakan untuk Islam.
Alhamdulillah, selepas tamat sesi ta’aruf, B2b pertama yang merupakan B2b eksperimen ditangguhkan dengan bacaan Tasbih Kafarah dan Surah Al-Asr. Sesungguhnya program ini sangat-sangat bermakna bagi kami. Pelbagai input kami peroleh melalui perkongsian dari orang-orang yang telah banyak makan garam dan gula berbanding kami. Jutaan penghargaan dan terima kasih saya ucapkan kepada staf KKSB yang banyak membantu, Dato’ Hussamuddin yang banyak memberi dorongan, krew-krew iLuvislam.com yang dedikasi dan sahabat-sahabat saya yang memeriahkan B2b kali ini.
InsyaAllah B2b seterusnya akan mengumpulkan sahabat-sahabat krew iLuvislam.com dan pengunjung setia iLuvislam.com. Semoga suatu hari nanti, misi B2b akan dicapai dan berkembanglah mesej-mesej Islam di seantero dunia. Jom sama-sama kita doakan.
Klik DISINI untuk melihat gambar2 selanjutnya.. đŸ™‚
Credit to : iLuvislam.Com
← Pakaian Remaja : Di Mana Silapnya??
Undi BN Boleh Masuk Syurga Juga →